Monday, July 22, 2024

Larian Amal Syed Saddiq Permainan Politik Semata-Mata?


Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini melancarkan misi larian solonya untuk mengutip dana bagi kawasan Parlimen Muar.

Kira-kira RM160,000 berjaya dikutip daripada inisiatif dipanggil sebagai 'Langkah Muar' itu.

Syed Saddiq sebelum ini berulang kali mendakwa Muar tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Beliau juga mengambil tindakan memfailkan saman terhadap kerajaan kerana menyekat peruntukan kepada Muar.

Namun, larian amal yang dianjurkan oleh Syed Saddiq mencetuskan perdebatan dan rasa curiga dalam kalangan pengkritik politik serta orang ramai.



Semenjak Syed Saddiq mengundurkan diri daripada blok kerajaan, beliau acapkali melontarkan dakwaan serta kritikan tentang sekatan peruntukan terhadap kawasan Parlimen ahli politik pembangkang.

Ada pengkritik politik berpandangan bahawa Syed Saddiq melaksanakan Langkah Muar sebagai salah satu strategi untuk meraih simpati rakyat.

Ahli politik kekal relevan hasil sokongan orang ramai dan Syed Saddiq menggunakan kaedah berkenaan menerusi Langkah Muar.

Dalam konteks politik, tindakan ini mampu meraih simpati dan sokongan daripada rakyat, terutamanya dalam kalangan mereka yang merasakan kerajaan kurang memberi perhatian kepada kawasan-kawasan pembangkang.

Namun, perkara yang lebih penting untuk diperhatikan adalah kegagalan Syed Saddiq untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan pihak kerajaan bagi menyelesaikan isu peruntukan untuk Muar.

Sebaliknya, beliau lebih cenderung untuk menyuarakan ketidakpuasan hati melalui media sosial.

Langkah tersebut boleh dilihat sebagai satu bentuk permainan politik yang bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan sambil meletakkan dirinya sebagai 'pejuang' rakyat yang berani serta lantang bersuara.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1176809/peruntukan-untuk-mp-pembangkang-memang-tak-pernah-ada-sejak-merdeka


Kerajaan sering menafikan dakwaan Syed Saddiq tentang sekatan peruntukan dan menegaskan bahawa Muar menerima peruntukan sebanyak lebih RM300 juta menerusi puluhan projek yang dilaksanakan.

Berdasarkan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan, peruntukan tidak pernah disalurkan secara terus kepada ahli pembangkang, tetapi melalui saluran rasmi dan agensi kerajaan bagi memastikan kesaksamaan dalam pembangunan sesebuah kawasan Parlimen.

Selain itu, kerajaan turut bersedia untuk mempertimbangkan langkah menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menerusi memorandum yang bakal dikemukakan.

Daripada kaca mata politik, langkah Syed Saddiq mengumpul dana melalui larian amal dan kegagalannya untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan kerajaan menunjukkan kelemahan dalam pendekatan beliau bagi menyelesaikan isu peruntukan.

Sebagai seorang ahli Parlimen, tanggungjawab utama adalah untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Mengutamakan tindakan populis seperti larian amal dan penggunaan media sosial tanpa berusaha untuk menyelesaikan masalah melalui saluran rasmi boleh dilihat sebagai tindakan kurang matang serta lebih mementingkan imej politik berbanding kebajikan rakyat.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1224542/tpm-fadillah-nafi-parlimen-muar-tak-disalur-peruntukan


Dalam usaha mengumpul dana melalui larian amal, isu ketelusan dan akauntabiliti juga tidak boleh diabaikan.

Walaupun Syed Saddiq mungkin mempunyai niat yang baik, pengumpulan dana secara besar-besaran ini memerlukan pengawasan yang ketat untuk memastikan setiap sen yang diterima digunakan dengan betul untuk kepentingan rakyat Muar.

Tanpa ketelusan yang jelas, tindakan Syed Saddiq boleh menimbulkan keraguan dan skeptisisme dalam kalangan rakyat tentang proses dana tersebut diuruskan serta disalurkan.

Rakyat berhak mengetahui proses dana yang dikumpulkan atas nama kebajikan mereka digunakan dan Syed Saddiq perlu memastikan bahawa setiap aspek peruntukan untuk orang ramai dijalankan dengan penuh ketelusan.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1263065/739-peratus-setuju-parti-politik-perlu-telus-berkenaan-dana


Tuntasnya, tindakan Syed Saddiq mengumpul dana melalui larian amal dilihat sebagai satu bentuk permainan politik yang lebih mementingkan populariti daripada penyelesaian jangka panjang.Selain itu, penggunaan media sosial sebagai platform utama untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap isu peruntukan menunjukkan kecenderungan Syed Saddiq untuk mencari publisiti dan meraih simpati rakyat.

Langkah berkenaan bukan sahaja mengaburi isu sebenar, tetapi juga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan beliau sebagai seorang ahli Parlimen yang berkesan dan bertanggungjawab.

Syed Saddiq perlu mengutamakan pendekatan yang lebih matang dan profesional dalam menyelesaikan isu peruntukan untuk Muar.

Kerjasama dengan kerajaan dan penggunaan saluran rasmi adalah kunci kepada penyelesaian yang berkesan dan berpanjangan.

Monday, July 8, 2024

Prospek Projek RTS Untuk Malaysia


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mempertikaikan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Dakwanya, pembinaan RTS itu akan menyukarkan kapal berlayar dari Selat Johor ke Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas.

Mahathir turut mendakwa laluan kapal dari Pasir Gudang ke Tanjung Pelepas berkemungkinan akan mengambil masa empat kali lebih lama berbanding melalui sepanjang Selat Johor secara terus.

Dakwaan Mahathir itu seolah-olah merendahkan prospek yang bakal dibawa oleh projek berkenaan bagi kedua-dua negara pada masa hadapan.

Sebaliknya, projek tersebut akan memberi kesan yang positif kepada Malaysia secara keseluruhannya.

RUJUKAN: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rts-link-projek-berwawasan-melangkaui-sempadan-dan-inovasi-453811


Antara kelebihan utama projek RTS adalah potensinya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Projek ini menjanjikan pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Singapura serta akan membawa kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan di negara ini.

Selain itu, pengembangan sektor pengangkutan bakal memudahkan pergerakan barang dan perkhidmatan, mengurangkan kos logistik serta meningkatkan kecekapan perdagangan.

Kemudahan perjalanan ini dapat menarik lebih banyak perniagaan untuk menjalankan operasi di negara ini khususnya Johor.

Projek RTS juga dijangka mewujudkan banyak peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan operasi.

Peningkatan pelancong dan pelabur perniagaan akan meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan seperti hospitaliti, peruncitan serta makanan dan minuman, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi.

Aktiviti ekonomi yang berkembang pesat akan menyumbang kepada peningkatan hasil cukai negara, justeru boleh dilaburkan semula dalam perkhidmatan awam dan infrastruktur, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat secara kolektif.

Malaysia sudah memulakan perancangan awal dengan melaksanakan inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, Iskandar Puteri dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) bagi menarik lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.Projek RTS akan mempercepatkan lagi hasrat Johor untuk menjadikan zon ekonomi dan kewangan berkenaan seperti bandar raya Shenzhen di China.

RUJUKAN: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sfz-sez-bakal-jadi-pemangkin-ekonomi-di-johor-onn-hafiz-442248


Pelancongan adalah salah satu sektor utama yang akan mendapat manfaat besar daripada projek RTS.

Menerusi penyediaan hubungan pengangkutan yang lancar dan cekap antara Johor Bahru serta Singapura, projek ini berkemungkinan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Singapura, sebagai salah satu hab pelancongan global utama, boleh menjadi pintu masuk bagi pelancong antarabangsa untuk menerokai Malaysia.

Kemudahan akses ini akan menggalakkan lebih banyak lawatan harian dan penginapan jangka pendek para pelancong, sekali gus mampu meningkatkan perniagaan tempatan.

Peningkatan kemasukan pelancong juga akan mempromosikan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Interaksi antara rakyat yang lebih erat dapat memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya masing-masing selain memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.

RUJUKAN: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1064207/projek-sistem-transit-rapid-perlu-jadi-keutamaan-malaysia-singapura


Dalam aspek persepektif diplomatik, projek RTS merupakan langkah signifikan ke arah memperkukuh hubungan Malaysia-Singapura.

Projek infrastruktur seperti RTS berfungsi sebagai simbol pengukuhan kerjasama dan manfaat antara kedua-dua negara.

Selain itu, projek tersebut akan membantu membina kepercayaan kedua-dua negara. Perkara itu penting untuk menangani cabaran serantau yang lebih luas.

Hubungan dua hala yang dipertingkatkan boleh membawa kepada usaha kerjasama yang lebih meluas dalam pelbagai bidang seperti keselamatan, perlindungan alam sekitar dan kestabilan serantau.

Tambahan lagi, pelaksanaan projek RTS yang berjaya bakal menjadi contoh bagi inisiatif bersama antara negara yang akan datang.

RTS boleh berfungsi sebagai model bagi projek rentas sempadan lain, menunjukkan manfaat kerjasama dan matlamat pembangunan bersama.

Hubungan diplomatik yang lebih kukuh dengan Singapura juga boleh meningkatkan kedudukan Malaysia dalam komuniti antarabangsa, membuka pintu kepada perkongsian dan peluang baharu.

RUJUKAN: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/05/843250/rts-link-jb-singapura-main-peranan-penting-untuk-ekonomi


Keraguan Mahathir terhadap projek RTS berpunca daripada pandangan sempit terhadap potensinya.

Meskipun penting untuk meneliti projek infrastruktur berskala besar, menolak projek RTS secara keseluruhan akan mengabaikan kelebihan jangka panjangnya.

Dalam konteks dunia yang semakin saling bergantungan antara satu sama lain, pendirian sedemikian daripada Mahathir disifatkan tidak produktif bagi Malaysia.

Projek RTS akan membantu Malaysia memanfaatkan kelebihan geografinya dan memperkukuh peranannya dalam ekonomi serantau.

Pelaksanaan inisiatif bersama seperti RTS juga akan menjadi kunci untuk membuka peluang baharu dan mencapai pembangunan yang mampan.

Sabah, Sarawak And Malaysia Are Paying Mahathir's Price

Dr Mahathir Mohamad now insists that Sabah and Sarawak owe their prosperity to the federation and to federal “expertise” that supposedly unl...