Thursday, April 24, 2025
MUDA Masih Belum Bersedia
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) baru-baru ini menyokong keputusan Parti Sosialis Malaysia (PSM)untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning pada April 2025.
Biro Politik parti itu berkata, MUDA akan berkempen dan bekerjasama dengan PSM di bilik gerakan.
Menurut kenyataan MUDA lagi, kehadiran parti berkenaan di lapangan bertujuan memastikan kempen ini membawa suara rakyat dan menolak politik perkauman serta persaingan elitis yang sering membelenggu pilihan pengundi.
Tindakan tersebut dilihat sebagai satu bentuk solidariti blok pembangkang progresif namun persoalan harus dirungkai adalah mengapa MUDA tidak meletakkan calon dalam PRK berkenaan?
Adakah MUDA cuba menutup kelemahan mereka khususnya berkaitan prestasi hambar dalam pilihan raya sebelum ini serta kurangnya calon berkaliber? Dari sudut prestasi dalam pilihan raya, MUDA masih gagal mencipta impak yang bermakna.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MUDA hanya berjaya memenangi satu kerusi Parlimen melalui bekas presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar.
Itu pun dengan margin majoriti yang jauh lebih kecil berbanding PRU sebelumnya iaitu hanya 1,345 undi berbanding pencabarnya, Abdullah Hussin daripada PAS.
Lebih ketara adalah kekalahan teruk MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berlangsung pada Ogos 2023.
Parti itu bertanding di beberapa buah kerusi, namun tiada satu pun berjaya dimenangi oleh mereka.
Kekalahan MUDA menunjukkan parti itu masih sukar diterima oleh pengundi secara menyeluruh, termasuk dalam kalangan pengundi muda yang kononnya menjadi asas kekuatan mereka.
Maka, keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Ayer Kuning sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan, malah dijangka oleh ramai penganalisis politik.
SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-politik/prn-muda-kalah-teruk-hilang-semua-deposit-tapi-432736
Satu lagi faktor adalah MUDA berkemungkinan tidak mempunyai calon yang sesuai atau cukup berwibawa untuk diketengahkan di Ayer Kuning.
Sebagai sebuah parti yang masih bergelut dengan isu struktur dalaman dan kekuatan jentera, MUDA tidak mempunyai banyak pilihan untuk menampilkan individu yang benar-benar bersedia memikul cabaran politik di peringkat negeri.
Tanpa jentera yang kuat dan calon yang mampu menarik undi secara merit, keputusan untuk membantu PSM mungkin dilihat lebih rasional daripada sudut logistik.
Namun begitu, tindakan parti terbabit memberikan isyarat bahawa MUDA masih belum bersedia bersaing secara kompetitif dalam gelanggang pilihan raya.
SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-politik/muda-terbuka-keputusan-ahli-letak-jawatan-mahu-fokus-masa-depan-parti-458738
MUDA berusaha membina naratif bahawa sokongan kepada PSM adalah simbol perpaduan dalam kalangan parti progresif.
Namun, kerjasama seperti ini hanya berkesan jika semua pihak mempunyai kekuatan dan sumbangan tersendiri.
Malangnya, MUDA dan PSM masih berada dalam kelompok parti kecil yang tidak mampu menggugat dominasi parti-parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).
Jika MUDA benar-benar mahu dilihat sebagai kuasa politik alternatif yang relevan, mereka perlu berani menampilkan diri dan mengambil risiko bertanding.
Menyorok di sebalik semangat solidariti hanyalah satu bentuk strategi bertahan, bukannya langkah proaktif untuk menawan hati rakyat.
SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1151725/amanah-johor-beri-kata-dua-kepada-wakil-rakyat-tunggal-muda
Keputusan MUDA untuk tidak bertanding dalam PRK Ayer Kuning menunjukkan parti itu masih jauh daripada mencapai kematangan politik yang diperlukan.
Ketiadaan calon yang meyakinkan, kelemahan jentera serta prestasi hambar dalam pilihan raya terdahulu adalah bukti MUDA masih belum bersedia.
Parti itu tidak boleh selamanya berselindung di sebalik kerjasama simbolik.
Jika mereka serius mahu menjadi pemain politik yang relevan, MUDA perlu tampil lebih berani, konsisten dalam prinsip dan membuktikan komitmen secara praktikal.
Jika tidak, MUDA hanya kekal sebagai satu lagi parti kecil yang gagal mencabar arus perdana, malah mungkin dilupakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Wednesday, April 2, 2025
Kewajaran MUDA Bubar Keahlian Syed Saddiq
Ketika Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), ramai menjangkakan parti berkenaan akan mengambil peluang untuk membina semula identiti tanpa dibayangi oleh pengasasnya.
MUDA bagaimanapun mengambil langkah untuk berdiam diri tentang status Syed Saddiq dan pendirian mereka tentang kes mahkamah melibatkan ahli Parlimen Muar itu.
Parti itu kini berada di persimpangan jalan, sama ada mahu bergerak ke hadapan atau sekadar 'tunggu dan lihat'.
Sejak ditubuhkan, parti tersebut cuba membawa suara progresif, berprinsip dan menjunjung ketelusan.
Namun, apabila melibatkan kes Syed Saddiq, parti itu hanya membisu dan membiarkan diri mereka dibayangi oleh ahli politik terbabit.
https://www.malaysiakini.com/news/727460
Kes penyelewengan dana melibatkan Syed Saddiq merupakan satu isu serius dalam dunia politik.
Walaupun beliau menafikan semua pertuduhan dan mendakwa menjadi mangsa politik, hakikatnya kes itu memberi impak besar kepada MUDA.
Sejak pendedahan kes berkenaan, parti tersebut mengalami kemerosotan daripada segi sokongan pengundi dan tidak lagi dilihat sebagai alternatif politik yang kukuh bagi golongan muda di Malaysia.
Jika benar MUDA memperjuangkan ketelusan dalam parti, tindakan membubarkan keahlian Syed Saddiq adalah wajar sehingga namanya dibersihkan daripada kes tersebut.
Namun, sehingga hari ini, MUDA tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang status Syed Saddiq dalam parti.
Adakah MUDA benar-benar memperjuangkan ketelusan dalam parti mereka?
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1175185/syed-saddiq-kosongkan-jawatan-presiden-muda
Sebelum ini, MUDA kerap kali mengkritik parti-parti lain yang membiarkan pemimpin mereka yang berdepan pendakwaan terus memegang jawatan serta berkuasa.
Mereka pernah menyuarakan keperluan untuk politik yang lebih bersih serta bebas daripada pemimpin yang mempunyai rekod buruk.
Justeru, timbul persoalan tentang 'keberanian' MUDA untuk bergerak ke hadapan tanpa sosok kelibat Syed Saddiq.
Adakah mereka masih bergantung kepada Syed Saddiq untuk terus relevan?
Keengganan MUDA untuk memutuskan sebarang kaitan dengan Syed Saddiq hanya membuktikan parti terbabit masih terperangkap dalam 'simptom politik lama' yang sebelum ini dikritik oleh mereka.
Sikap selektif dalam mengamalkan prinsip ketelusan yang mereka perjuangkan sebelum ini menunjukkan MUDA masih belum matang dalam menguruskan isu dalaman parti.
https://www.sinarharian.com.my/article/634058/berita/politik/muda-tak-mampu-hidup-tanpa-syed-saddiq
MUDA perlu memberi penjelasan kepada rakyat dan pengundi merek tentang pendirian parti berkenaan isu Syed Saddiq.
Sikap mendiamkan diri hanya mencetuskan spekulasi negatif serta merosakkan kredibiliti parti.
Dalam politik, pemimpin yang berdepan pendakwaan perlu berundur.
MUDA perlu membubarkan keahlian atau menggesa Syed Saddiq meletakkan jawatan jika mereka mahu membuktikan keseriusan dalam memperjuangkan politik bersih.
Sudah tiba masanya, MUDA tidak terus dibayangi oleh seorang figura dalam parti.
https://www.buletintv3.my/nasional/pemilihan-parti-muda-akan-diawalkan-s-u-agung/
MUDA harus membuat keputusan drastik mulai saat ini.
Jika mereka terus memilih untuk mengekalkan Syed Saddiq dalam parti, MUDA akan kehilangan kepercayaan pengundi dan menjadi parti tidak relevan.
Sebaliknya, jika mereka benar-benar serius mahu bergerak ke hadapan, langkah pertama yang perlu diambil adalah mengenakan tindakan tegas terhadap Syed Saddiq.
MUDA harus belajar bahawa parti politik tidak boleh bergantung kepada satu individu semata-mata tetapi perlu membina kekuatan berdasarkan prinsip mereka.
Sekiranya gagal mengambil langkah tersebut, tidak mustahil MUDA akan menjadi satu lagi parti kecil yang tenggelam tanpa arah, dihimpit krisis dalaman dan hilangan sokongan rakyat.
Subscribe to:
Comments (Atom)
Sabah, Sarawak And Malaysia Are Paying Mahathir's Price
Dr Mahathir Mohamad now insists that Sabah and Sarawak owe their prosperity to the federation and to federal “expertise” that supposedly unl...
-
Ketika Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), ramai ...
-
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semakin menjadi perhatian sejak kebelakangan ini. Namun perhatian yang diperoleh oleh Syed...
-
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas penasihat Datuk Seri Naj...









