Thursday, April 24, 2025

MUDA Masih Belum Bersedia


Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) baru-baru ini menyokong keputusan Parti Sosialis Malaysia (PSM)untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning pada April 2025.

Biro Politik parti itu berkata, MUDA akan berkempen dan bekerjasama dengan PSM di bilik gerakan.

Menurut kenyataan MUDA lagi, kehadiran parti berkenaan di lapangan bertujuan memastikan kempen ini membawa suara rakyat dan menolak politik perkauman serta persaingan elitis yang sering membelenggu pilihan pengundi.

Tindakan tersebut dilihat sebagai satu bentuk solidariti blok pembangkang progresif namun persoalan harus dirungkai adalah mengapa MUDA tidak meletakkan calon dalam PRK berkenaan?

Adakah MUDA cuba menutup kelemahan mereka khususnya berkaitan prestasi hambar dalam pilihan raya sebelum ini serta kurangnya calon berkaliber?
Dari sudut prestasi dalam pilihan raya, MUDA masih gagal mencipta impak yang bermakna.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MUDA hanya berjaya memenangi satu kerusi Parlimen melalui bekas presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar.

Itu pun dengan margin majoriti yang jauh lebih kecil berbanding PRU sebelumnya iaitu hanya 1,345 undi berbanding pencabarnya, Abdullah Hussin daripada PAS.

Lebih ketara adalah kekalahan teruk MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berlangsung pada Ogos 2023.

Parti itu bertanding di beberapa buah kerusi, namun tiada satu pun berjaya dimenangi oleh mereka.

Kekalahan MUDA menunjukkan parti itu masih sukar diterima oleh pengundi secara menyeluruh, termasuk dalam kalangan pengundi muda yang kononnya menjadi asas kekuatan mereka.

Maka, keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Ayer Kuning sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan, malah dijangka oleh ramai penganalisis politik.

SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-politik/prn-muda-kalah-teruk-hilang-semua-deposit-tapi-432736


Satu lagi faktor adalah MUDA berkemungkinan tidak mempunyai calon yang sesuai atau cukup berwibawa untuk diketengahkan di Ayer Kuning.

Sebagai sebuah parti yang masih bergelut dengan isu struktur dalaman dan kekuatan jentera, MUDA tidak mempunyai banyak pilihan untuk menampilkan individu yang benar-benar bersedia memikul cabaran politik di peringkat negeri.

Tanpa jentera yang kuat dan calon yang mampu menarik undi secara merit, keputusan untuk membantu PSM mungkin dilihat lebih rasional daripada sudut logistik.

Namun begitu, tindakan parti terbabit memberikan isyarat bahawa MUDA masih belum bersedia bersaing secara kompetitif dalam gelanggang pilihan raya.

SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-politik/muda-terbuka-keputusan-ahli-letak-jawatan-mahu-fokus-masa-depan-parti-458738


MUDA berusaha membina naratif bahawa sokongan kepada PSM adalah simbol perpaduan dalam kalangan parti progresif.

Namun, kerjasama seperti ini hanya berkesan jika semua pihak mempunyai kekuatan dan sumbangan tersendiri.

Malangnya, MUDA dan PSM masih berada dalam kelompok parti kecil yang tidak mampu menggugat dominasi parti-parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

Jika MUDA benar-benar mahu dilihat sebagai kuasa politik alternatif yang relevan, mereka perlu berani menampilkan diri dan mengambil risiko bertanding.

Menyorok di sebalik semangat solidariti hanyalah satu bentuk strategi bertahan, bukannya langkah proaktif untuk menawan hati rakyat.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1151725/amanah-johor-beri-kata-dua-kepada-wakil-rakyat-tunggal-muda


Keputusan MUDA untuk tidak bertanding dalam PRK Ayer Kuning menunjukkan parti itu masih jauh daripada mencapai kematangan politik yang diperlukan.

Ketiadaan calon yang meyakinkan, kelemahan jentera serta prestasi hambar dalam pilihan raya terdahulu adalah bukti MUDA masih belum bersedia.

Parti itu tidak boleh selamanya berselindung di sebalik kerjasama simbolik.

Jika mereka serius mahu menjadi pemain politik yang relevan, MUDA perlu tampil lebih berani, konsisten dalam prinsip dan membuktikan komitmen secara praktikal.

Jika tidak, MUDA hanya kekal sebagai satu lagi parti kecil yang gagal mencabar arus perdana, malah mungkin dilupakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment

Sabah, Sarawak And Malaysia Are Paying Mahathir's Price

Dr Mahathir Mohamad now insists that Sabah and Sarawak owe their prosperity to the federation and to federal “expertise” that supposedly unl...