Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim baru-baru ini mencadangkan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga.
Cadangan itu dibuat dengan syarat gerakan 'payung Melayu' berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.
Namun, idea tersebut dianggap kurang realistik dan langsung tidak menepati keperluan semasa negara ketika ini.
Usia Mahathir yang kini mencecah 100 tahun, persoalan utama yang wajar ditanya adalah mengapa perlu beliau kembali diangkat sebagai Perdana Menteri?
Adakah Malaysia kekurangan pemimpin berwibawa sehingga perlu mencadangkan nama Mahathir yang sudah dua kali diberi peluang memimpin negara sebelum ini?
SUMBER: https://malaysiabangkit.com/tun-mahathir-sudah-tidak-relevan-lagi-dalam-politik-syed-badli/
Mahathir sememangnya salah seorang figura politik yang paling berpengaruh pada masa kini.
Namun, rekod dua kali menjadi Perdana Menteri sudah memadai sebagai bukti bahawa Mahathir telah diberi peluang yang tidak pernah dirasakan oleh pemimpin-pemimpin lain di negara ini.
Pada usia sudah seabad, keutamaan Mahathir sepatutnya bukan lagi untuk kembali berkuasa, tetapi menyumbang idea dari belakang tanpa mengheret negara kembali ke kancah politik lapuk dan usang.
Tambahan pula, prestasi Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) masih dikritik ramai.
Janji peralihan kuasa yang gagal ditunaikan, keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 dan kegagalan membentuk kestabilan politik merupakan antara faktor yang melemahkan sokongan rakyat terhadapnya.
Jika peluang kedua pun Mahathir gagal menghasilkan kestabilan dalam negara, mengapa peluang ketiga perlu diberikan?
SUMBER: https://www.sinarharian.com.my/article/229675/berita/politik/anwar-salahkan-mahathir-ph-gagal
Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang bukan sahaja bijak dari segi strategi politik, tetapi juga sihat, bertenaga, cekap bergerak, serta mampu menghadiri rundingan antarabangsa, mesyuarat kabinet, sesi parlimen dan lawatan rasmi secara intensif.
Pada usia seabad, adalah tidak realistik untuk menjangkakan seseorang seperti Mahathir mampu menanggung beban tugas seorang Perdana Menteri yang memerlukan keupayaan fizikal dan mental pada tahap optimum.
Realiti politik hari ini memerlukan pemimpin yang cergas, dinamik dan bersedia menghadapi cabaran kompleks seperti transformasi ekonomi, geopolitik global, penyelarasan dasar, teknologi baharu dan kestabilan politik jangka panjang.
Maka, cadangan mengangkat Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah tidak praktikal sama sekali.
Negara tidak seharusnya bergantung terhadap politikus lama yang sepatutnya sudah lama berehat daripada memikul tanggungjawab berat.
SUMBER: https://suaramerdeka.com.my/saya-sudah-terlalu-tua-untuk-jadi-pm-sekali-lagi-dr-mahathir/
Cadangan Mohd Zaid seolah-olah menggambarkan bahawa Malaysia kekurangan pemimpin berkualiti.
Walhal realitinya, negara ini dipenuhi ahli politik muda, teknokrat berkaliber, pemimpin berpengalaman, ahli akademik serta usahawan yang memahami cabaran ekonomi dan sosial moden.
Malaysia berada dalam fasa politik baharu dan generasi muda kini memainkan peranan besar dalam pilihan raya.
Golongan muda mahukan perubahan, menginginkan dasar serta kepimpinan yang lebih segar dan menolak politik lapuk.
Jika negara mahu maju ke depan dan bersaing dengan negara-negara seperti Singapura, Jepun dan Korea Selatan, kita memerlukan pemimpin yang memahami realiti era digital, ekonomi hijau, geopolitik serantau serta aspirasi rakyat generasi baharu.
SUMBER: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/11/lebih-baik-bersara-tak-relevan-jadi-wakil-rakyat-warganet-kritik-hasrat-dr-m-bertanding
Tuntasnya, Mahathir telah diberi dua peluang dan memadai buat dirinya untuk beliau menunjukkan kemampuannya memerintah negara.
Namun, negara perlu bergerak ke hadapan dan bukannya masih menagih 'keringat' pemimpin veteran seperti Mahathir.
Justeru, Malaysia memerlukan kepimpinan baharu yang segar, relevan dan sesuai dengan keperluan masa depan.
Memberi peluang ketiga kepada Mahathir bukan sahaja tidak logik, tetapi bertentangan dengan aspirasi rakyat serta realiti politik moden.
Sudah tiba masanya negara menutup bab lama dan membuka ruang kepada generasi pemimpin baharu untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan yang lebih stabil, progresif serta inklusif.