Sunday, December 17, 2023

PEJUANG Di Persimpangan Politik Malaysia


Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ditubuhkan pada Ogos 2020 selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melangkah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) gara-gara gagal mendapat sokongan atau kepercayaan dalam kalangan ahli parti tersebut.

Selepas lebih tiga tahun penubuhannya, PEJUANG belum menampakkan potensi bahawa mereka mampu mencabar parti-parti utama negara.

Parti berkenaan sebaliknya ditolak sehabis-habisnya oleh rakyat terutamanya ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022.

Kekalahan terbabit turut memberi impak kepada keputusan PEJUANG untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada tahun ini.

Persoalan yang timbul adalah sama ada PEJUANG mampu terus memberi tekanan kepada parti-parti utama atau berkubur tidak lama lagi.

Banyak pihak turut mengatakan kegagalan PEJUANG disebabkan oleh kepimpinan Mahathir yang menerajui parti tersebut sebelum ini.

Sumber: https://suara.tv/13/03/2022/pejuang-hilang-deposit-42-kerusi-ditandingi-sumbang-rm210000-kepada-spr-laporan/

https://www.astroawani.com/berita-politik/pejuang-tidak-bertanding-dalam-prn-di-enam-negeri-mukhriz-429262


Ramai sedia maklum bahawa Mahathir memiliki gaya kepimpinan yang autokrat atau pendekatan politik Machiavellian.

Gaya kepimpinannya yang suatu ketika dahulu pernah dianggap sebagai tunjang utama kemajuan ekonomi Malaysia, tidak lagi relevan dalam konteks politik negara masa kini.

Politik Malaysia sekarang lebih dinamik dan terarah kepada konsep pluralistik.

Sikap Mahathir yang berkemungkinan besar membuat sebarang keputusan secara unilateral tanpa melibatkan rundingan antara ahli-ahli parti mencetuskan masalah besar.

Pendekatan sedemikian hanya mengundang kepada kegagalan PEJUANG merangka idea-idea atau strategi baharu lebih inklusif yang disifatkan penting dalam politik kontemporari.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/05/11/dr-m-lebih-machiavelli-daripada-machiavelli/


Mahathir turut gagal sedar bahawa kebanyakan pengundi utama pada masa kini adalah golongan muda.

Meskipun beliau berpengalaman luas dalam politik Malaysia, namun Mahathir gagal untuk memperjuangkan aspirasi golongan muda sepenuhnya.

Generasi muda pada masa kini cenderung memilih individu yang telus, bertanggungjawab serta lebih bersifat demokrasi sebagai pemimpin.

Malangnya, gaya kepimpinan Mahathir tidak bersesuaian dengan kehendak pengundi muda masa kini.

Faktor ini menyumbang kepada kegagalan PEJUANG untuk menarik minat pengundi muda secara lebih meluas.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1124721/saya-tak-ambil-serius-sangat-dr-mahathir-sudah-tak-relevan


Selain itu, PEJUANG juga gagal mengembangkan sokongan daripada peringkat akar umbi.

Sebaliknya, parti itu terlalu memberi fokus kepada aspek politik di peringkat tertinggi yang hanya memperjuangkan isu-isu nasional atau antarabangsa.

Kurangnya inisiatif PEJUANG untuk menyantuni kehidupan rakyat berkemungkinan besar menyebabkan parti tersebut tidak dekat di hati pengundi.

Mahathir turut memberi tumpuan kepada perjuangan politik jangka pendek berbanding membangunkan asas parti yang kukuh.

Kepimpinan parti yang terlalu 'berusia' tanpa penglibatan para pemimpin muda secara lebih aktif menyebabkan PEJUANG sukar untuk berkembang.

Sumber: https://premium.sinarharian.com.my/article/226216/fokus/semasa/pejuang-dan-gta-sudah-tidak-relevan


Tuntasnya, kegagalan PEJUANG menarik sokongan orang ramai secara meluas perlu dilihat kembali kepada gaya kepimpinan Mahathir.

Gaya kepimpinannya dalam konteks PEJUANG, tidak lagi bersesuaian dengan keperluan dan harapan pengundi khususnya generasi muda masa kini.

Walaupun selepas Mahathir keluar daripada PEJUANG, parti itu sehingga kini masih suram dan hanya menunggu masa untuk karam seperti kapal van der Wijck.

PEJUANG hanya dikenali kerana memiliki figura seperti Mahathir namun 'kehilangan' beliau sepatutnya memberi peluang kepada para pemimpin baharu untuk mencorak kembali identiti parti itu namun gagal dilaksanakan.

Parti ketika ini berdepan cabaran besar untuk kekal relevan dan banyak strategi perlu dilaksanakan sekiranya mahu mendapat kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

No comments:

Post a Comment

Sabah, Sarawak And Malaysia Are Paying Mahathir's Price

Dr Mahathir Mohamad now insists that Sabah and Sarawak owe their prosperity to the federation and to federal “expertise” that supposedly unl...