Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ditubuhkan pada tahun 2020 dengan semangat besar untuk membawa satu pembaharuan kepada dunia politik tempatan.
Dipimpin dan diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, parti itu pada awalnya tampil dengan slogan reformasi, keberanian anak muda dan janji untuk menjadi wadah politik baharu yang bebas daripada budaya politik lama.
Namun, selepas hampir enam tahun penubuhannya, MUDA semakin tenggelam, gagal memberi impak kepada perjuangan golongan muda dan kehilangan semangat reformasi yang pernah dilaungkan.
Bermacam faktor yang menyebabkan MUDA tidak lagi dipandang sebagai sebuah parti yang mengetengahkan platform untuk anak muda menyuarakan aspirasi atau harapan mereka.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), MUDA gagal menonjolkan diri sebagai kuasa parti anak muda yang relevan.
MUDA hanya berjaya memperoleh satu kerusi Parlimen (Muar) menerusi Syed Saddiq.
Kedudukan yang terlalu kecil ini menjadikan mereka tidak berupaya mempengaruhi dasar atau membawa agenda besar untuk anak muda.
Kemudiannya, parti itu bertindak keluar daripada kerajaan dan cuba untuk menjadi kuasa ketiga, namun malangnya tidak memberi impak yang kuat.
Akibatnya, MUDA terperangkap dalam ruang politik yang sempit apabila gagal memberi pengaruh besar dalam kerajaan mahu pun pembangkang.
Keadaan ini menyebabkan MUDA semakin tenggelam daripada radar politik nasional.
Golongan muda yang pernah menaruh harapan kini melihat parti tersebut sebagai tidak lebih daripada kumpulan kecil yang lantang di media sosial tetapi kurang berkesan di lapangan.
SUMBER: https://www.malaysianow.com/my/news/2023/09/10/muda-umum-keluar-gabungan-kerajaan
Salah satu kritikan utama terhadap MUDA ialah sikap mereka yang selektif dalam memperjuangkan isu anak muda.
Parti berkenaan lebih banyak menonjolkan isu-isu yang bersifat populis atau sensasi, tetapi kurang memberi perhatian kepada masalah utama seperti isu pengangguran dalam golongan belia, kos sara hidup, akses kepada pendidikan berkualiti serta perumahan mampu milik untuk generasi muda.
Sebaliknya, MUDA sering dilihat lebih sibuk dengan naratif politik peribadi, termasuk kontroversi yang melibatkan kepimpinan mereka atau pihak yang hanya memberi kepentingan kepada parti itu.
Sebagai contoh, isu mahkamah Syed Saddiq. Apabila pemimpin utama sesebuah parti berdepan masalah integriti, sukar untuk MUDA meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah parti reformasi yang bersih daripada sebarang salah laku.
Hal tersebut menimbulkan persepsi bahawa parti terbabit gagal menjadi wadah sebenar perjuangan anak muda.
SUMBER: https://malaysiagazette.com/2025/06/26/muda-tawar-semula-jawatan-presiden-kepada-syed-saddiq/
MUDA turut gagal membina jaringan akar umbi yang kukuh khususnya dalam kalangan belia di kampung dan bandar-bandar kecil.
Sokongan mereka lebih tertumpu kepada golongan belia bandar yang celik Internet yang banyak menggunakan media sosial.
MUDA tidak turun padang secara konsisten di kawasan-kawasan berkenaan dan lebih bergantung kepada naratif media sosial, menyebabkan mereka kurang relevan di mata anak muda di lokasi-lokasi tersebut.
Tanpa struktur akar umbi yang mantap, MUDA tidak mampu menggerakkan sokongan massa atau melaksanakan program berterusan yang memberi impak lebih jelas kepada kehidupan anak muda.
Akibatnya, parti itu tidak mampu meraih lebih banyak sokongan yang diperlukan ketika pilihan raya dan nama mereka mulai pudar daripada mulut rakyat.
Selepas hampir enam tahun, MUDA gagal memberi impak bermakna kepada reformasi politik Malaysia.
Parti itu tidak berjaya memperluaskan pengaruhnya, gagal menambah kerusi dan tidak membawa agenda besar yang mengubah landskap politik.
Sebaliknya, MUDA kini dilihat sebagai parti kecil yang kehilangan arah, lebih banyak bergelut dengan isu dalaman dan imej kepimpinan.
MUDA kini menjadi contoh bagaimana sebuah parti yang lahir dengan idealisme besar boleh gagal kerana tidak konsisten, gagal menyusun strategi dan tidak berakar umbi dalam realiti perjuangan rakyat muda.
MUDA kini menghampiri episod menjadi sebuah parti yang pernah menjanjikan reformasi, tetapi akhirnya gagal menunaikannya.
No comments:
Post a Comment