Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka akan diadakan pada April 2027 seperti dinyatakan oleh Menteri Besar, Dato Onn Hafiz Ghazi.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bakal menjadi salah satu parti yang berkemungkinan mendapat perhatian ramai dalam PRN Johor kelak.
Dua kerusi yang disandang mereka iaitu Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dijangka menjadi medan ujian paling getir buat MUDA pada PRN Johor.
Meskipun pada awalnya MUDA pernah dianggap sebagai simbol kebangkitan politik generasi baharu, perkembangan parti itu sejak 2024 sehingga kini menunjukkan mereka semakin kehilangan arah dan kurang relevan.
Sebelum ini, MUDA mendapat laluan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di dua kerusi berkenaan.
Namun selepas parti itu memilih keluar daripada blok kerajaan dan mahu menjadi kuasa ketiga, peluang untuk MUDA mengekalkan kedua-dua kerusi itu mencetuskan persoalan sangat besar.
Secara dasarnya, peluang untuk MUDA mempertahankan kedua-dua kerusi itu sangat tipis.
Mengikut rekod, MUDA hanya menang satu kerusi DUN daripada 56 kerusi yang ditandingi oleh mereka pada PRN Johor 2022 iaitu Puteri Wangsa.
MUDA kekal mempertahankan kerusi Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022 namun penyandangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya menang dengan majoriti undi yang tipis berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Selain itu, pelbagai pihak seperti DAP dan Amanah Johor secara terbuka menyatakan hasrat untuk merampas semula kerusi Muar dan Puteri Wangsa kerana diberikan kepada MUDA atas dasar kompromi politik.
MUDA juga tidak mempunyai jaringan akar umbi yang kukuh.
Berbanding parti besar seperti UMNO, PAS, atau DAP, MUDA kekurangan struktur organisasi di peringkat sayap.
Situasi berkenaan menyebabkan mereka sukar meraih sokongan yang tinggi, khususnya di Johor yang cenderung kepada parti lebih tradisional seperti UMNO.
MUDA masih belum menampilkan agenda jelas untuk golongan muda.
Sikap selektif mereka terhadap isu-isu nasional menunjukkan parti itu hanya bijak bermain dengan retorik berbanding memberikan cadangan polisi yang konkrit kepada masalah membelenggu golongan muda.
Golongan muda yang pada awalnya tertarik dengan imej progresif MUDA kini beralih kepada parti politik yang lebih stabil dan faham aspirasi mereka.
Tambah memburukkan keadaan apabila pengasas MUDA, Syed Saddiq kian tercalar dengan pelbagai kontroversi dan dilihat lebih banyak terbabit dalam kisah percintaan dengan selebriti.
Syed Saddiq sebelum ini pernah mengatakan MUDA akan menjadi simbol reformasi kepada politik berbentuk lama, namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, populariti parti itu terus merudum dan sering kali menerima kritikan daripada orang ramai selain Syed Saddiq juga terpalit dengan kes penyalahgunaan wang dan pengubahan wang haram yang masih berlangsung.
SUMBER: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1298600/syed-saddiq-adalah-dalang-pendakwaan
Kelemahan paling ketara MUDA adalah mereka juga gagal membina jambatan sosial merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
Parti politik yang berjaya biasanya mampu menghubungkan diri dengan pelbagai kelompok masyarakat termasuklah pekerja kilang, petani, mahasiswa universiti, golongan profesional dan komuniti luar bandar.
MUDA sebaliknya terlalu fokus kepada penduduk bandar dan media sosial.
Di Johor, sokongan politik tidak hanya bergantung kepada golongan muda di kawasan bandar.
Negeri berkenaan memiliki populasi besar di kawasan luar bandar yang lebih memilih parti tradisional.
UMNO misalnya, mempunyai jaringan kuat di kawasan-kawasan kampung dan membabitkan dalam pelbagai program kebajikan di Johor.
PAS pula mendekatkan diri dengan masyarakat melalui program berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan.
DAP dan Amanah turut menyebarkan pengaruh mereka di kawasan bandar dengan mengetengahkan naratif pembangunan serta keadilan sosial.
MUDA bagaimanapun tidak memiliki strategi khusus untuk menembusi mana-mana segmen berkenaan.
Lebih memburukkan keadaan, MUDA gagal membina hubungan dengan organisasi masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan profesional yang boleh menjadi jambatan kepada sokongan lebih meluas.
Mereka terlalu bergantung kepada populariti Syed Saddiq dan beberapa figura muda, tetapi tidak membina rangkaian sosial yang kukuh.
Akibatnya, sokongan terhadap MUDA terhad kepada kelompok kecil penduduk bandar dan bukan sebahagian besar pengundi yang mampu menjamin kemenangan pilihan raya.
Tuntasnya, peluang untuk MUDA mempertahankan kerusi Muar dan Puteri Wangsa sangat tipis disebabkan beberapa faktor penting.
Status parti yang semakin tidak relevan, kegagalan menarik pengundi muda serta kontroversi yang melibatkan kepimpinan menjadikan kedudukan mereka goyah.
MUDA juga gagal membuktikan keupayaan untuk memperjuangkan hak-hak anak muda secara konsisten selain tidak mampu menembusi segmen masyarakat lain di Johor.
Sekiranya kekalahan itu benar-benar terjadi, maka akan menjadi noktah kepada perjalanan politik MUDA.
Parti itu akan dikenang sebagai simbol kegagalan sebuah eksperimen yang tidak mampu bertahan dalam realiti politik Malaysia.
No comments:
Post a Comment