Wednesday, June 18, 2025

Mahathir Sekadar Liabiliti Untuk PN


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini dilihat mungkin akan menjalinkan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Beberapa jalinan kerjasama telah dibuat antara kedua-dua pihak seperti PN melantik Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh PAS (SG4) dan bekas Perdana Menteri itu pernah menghadiri muktamar PAS pada 2023.

Namun, adakah kerjasama itu benar-benar menjanjikan kejayaan besar buat PN?

Atau mungkin adakah kerjasama itu sekadar menjadi satu lagi episod politik yang akan berakhir dengan perpecahan dan kegagalan?

SUMBER: https://www.scoop.my/berita/253380/pelantikan-tun-m-sebagai-penasihat-sg4-belum-nampak-hasil-yang-boleh-dianggap-kejayaan-penganalisis/


Mengikut rekod, kerjasama politik Mahathir dengan pelbagai pihak sebelum ini sering kali berakhir dengan kegagalan serta perpecahan terhadapa gabungan yang beliau sendiri mulakan.

Sebagai contohnya, kerjasama Mahathir bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Ketika itu, Mahathir memanfaatkan gelombang rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN) dan berganding bahu dengan PH bagi menumbangkan kerajaan terdahulu.

Namun, selepas hanya 22 bulan memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri ketujuh, pentadbiran Mahathir tumbang.

Situasi itu disebabkan oleh keengganan Mahathir untuk menyerahkan kuasa seperti dijanjikan dan kegagalannya menyatukan komponen PH.

Keruntuhan kerajaan di bawah Mahathir ketika itu bukan sahaja mencetuskan krisis keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik, malah membuka jalan kepada kemunculan isu lain seperti kerajaan 'pintu belakang'.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/658662/tun-m-letak-jawatan-perdana-menteri


Jika melihat senario politik hari ini, Mahathir berulang kali menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan negara.

Malahan Mahathir juga cenderung menyokong mana-mana pihak yang boleh membantunya terus memainkan peranan aktif dalam politik nasional.

Dalam konteks kerjasama dengan PN, langkah berkenaan adalah sebagai satu strategi peribadi Mahathir untuk tampil terus relevan berbanding memberi nilai tambah kepada gabungan tersebut.

Mahathir pernah menubuhkan parti baharu seperti PEJUANG dan Gerakan Tanah Air, namun kedua-duanya gagal menambat hati rakyat serta tidak berjaya memenangi sebarang kerusi dalam PRU-15.

Situasi itu menunjukkan bahawa pengaruh Mahathir dalam kalangan pengundi semakin menurun, terutamanya para pengundi muda yang lebih menginginkan kepimpinan lebih segar dan terbuka.

SUMBER: https://www.nst.com.my/news/nation/2022/11/852746/ge15-dr-m-loses-deposit-15th-general-elections


PN perlu menilai risiko sekiranya ingin benar-benar menjadikan Mahathir sebagai rakan strategik mereka.

Pengalaman Mahathir bersama PH sebelum ini menjadi bukti jelas bahawa bekerjasama dengan beliau bukan jaminan kepada kestabilan, namun boleh menjadi 'racun' dalam jangka masa panjang.

Rakyat juga semakin muak dengan wajah-wajah lama yang muncul semula setiap kali pilihan raya berlangsung.

Mahathir telah memegang tampuk pemerintahan selama lebih dua dekad dan kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018.

Namun, Mahathir gagal memberi impak ekonomi dan kestabilan jangka masa panjang seperti yang pernah beliau janjikan.

Mahathir sendiri gagal menunaikan manifesto yang pernah dicanang ketika kempen PRU-14.

Kegagalan tersebut menyebabkan persepsi rakyat terhadap Mahathir terus merosot dan bekerjasama dengannya bukanlah satu kelebihan tetapi mungkin liabiliti.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/614071/sukar-untuk-kerajaan-tunai-manifesto-dr-mahathir


Tuntasnya, kerjasama antara Mahathir dan PN tidak menjamin kejayaan besar dalam PRU-16.

Sebaliknya, kerjasama tersebut akan membuka ruang kepada ketegangan dalaman, pertikaian kuasa dan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap PN.

Mahathir bukan lagi simbol kemajuan atau pembaharuan.

Mahathir kini dilabel sebagai ahli politik yang enggan melepaskan kuasanya dan pernah gagal menyatukan gabungan yang pernah beliau pimpin.

Sekiranya PN benar-benar ingin memenangi hati rakyat, mereka perlu fokus kepada calon-calon muda, dasar-dasar yang lebih segar dan tidak bergantung kepada bayang-bayang seorang ahli politik veteran yang berkali-kali menjejaskan kestabilan politik negara.

No comments:

Post a Comment

Sabah, Sarawak And Malaysia Are Paying Mahathir's Price

Dr Mahathir Mohamad now insists that Sabah and Sarawak owe their prosperity to the federation and to federal “expertise” that supposedly unl...